PENYAMPAI RADIO TAWAU MOHON MAAF KUMANDANG AZAN MAGHRIB LEBIH AWAL

PENYAMPAI RADIO TAWAU MOHON MAAF KUMANDANG AZAN MAGHRIB LEBIH AWAL

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kesahihan ibadah puasa hari pertama Ramadhan bagi umat Islam di Tawau menjadi tanda tanya apabila seorang penyampai stesen radio mengkumandangkan azan Maghrib 4 minit lebih awal petang tadi.

Penyampai itu, Mohd Safwan Junit, dalam sebuah catatan pada halaman Facebook peribadi beliau sebentar tadi mengaku kesilapannya semasa bertugas dalam segmen ‘Syoknya Hujung Minggu’.

“Saya telah melakukan kesilapan teknikal yang mana azan Maghrib telah disiarkan dua kali, iaitu sekitar 6.16 petang dan yang kedua 6.20 petang…

“Azan yang sepatutnya disiarkan pada 6.20 telah dikumandangkan lebih awal dari waktunya, menyebabkan ramai daripada warga Tawau secara tidak sengaja telah berbuka puasa awal dari waktu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengambil tanggungjawab penuh dengan berkata hal ini berlaku disebabkan oleh kesilapan teknikal dan dirinya sendiri.

“Oleh itu, saya dengan rendah diri, secara peribadi, memohon maaf kepada warga Tawau yang terkesan dengan keadaan ini…

“Kesilapan ini adalah kesilapan dari diri saya sendiri dan bukan RTM Tawau, atau Tawau FM,” katanya.