Bekalan Ayam Di Sabah Mencukupi – KPDNHEP

Bekalan Ayam Di Sabah Mencukupi – KPDNHEP

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Tiada keperluan untuk pembelian panik oleh pengguna di Sabah memandangkan bekalan ayam mentah sedia ada adalah mencukupi khasnya menjelang sambutan perayaan Pesta Kaamatan di Sabah pada 30 dan 31 Mei 2022.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah, Georgie Abas berkata, pemeriksaan di pelbagai peringkat seperti peruncit dan pemborong pada di seluruh Sabah mendapati bekalan bagi daging ayam masih mudah diperolehi di pasar-pasar utama, pasar raya dan kedai runcit.

“Pemeriksaan dan pemantauan bekalan ayam termasuklah barangan keperluan asas yang lain dijalankan pada setiap hari oleh KPDNHEP Sabah untuk memastikan bekalan barangan keperluan asas tersebut tidak terputus dan dijual pada harga yang berpatutan.

“Bagi negeri Sabah, penternak ayam tempatan dan pembekal masih mampu menampung bekalan di pasaran tempatan…

Terdapat 19 penternak ayam pedaging yang utama yang boleh mengeluarkan sebanyak tiga juta ekor ayam sebulan,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan laporan harian pemeriksaan ayam di seluruh Sabah, purata ayam disembelih dalam tempoh sebulan adalah dianggarkan sebanyak tiga juta ekor iaitu purata 100,000 ekor ayam sehari.

“Bekalan ayam yang dihantar ke pasar raya utama di Sabah pula adalah sebanyak 100 hingga 300 ekor ayam sehari.

“Memandangkan permintaan ke atas kepak ayam yang meningkat pada setiap kali musim perayaan di Sabah, maka kepak ayam telah disenaraikan sebagai barang harga terkawal di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan yang berkuat kuasa pada 27 Mei 2022 hingga 2 Jun 2022,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Georgie berkata pihaknya juga telah dan sedang menguatkuasakan Penentuan Harga Maksimum Bagi Ayam Dan Telur Ayam (PHMAT) bermula pada 5 Februari 2022 sehingga 5 Jun 2022.

“Sebanyak 58 tindakan kes telah dihasilkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah terhadap pihak yang didapati tidak mematuhi pelaksanaan (PHMAT) sejak 5 Februari 2022 hingga ke hari ini.

“Daripada 58 kes yang dihasilkan tersebut, tiga kes telah dihasilkan di bawah kesalahan menjual barang harga kawalan melebihi harga maksimum yang ditetapkan, 51 kes kerana kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu dan empat (4) kes membabitkan kesalahan peniaga yang gagal mempamerkan harga,” jelasnya.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi 58 kes terbabit adalah RM11,949 dan kesemua kes itu telah dikompaun dengan jumlah nilai kompaun keseluruhan adalah RM9,200.

Sejak PHMAT berkuat kuasa, sebanyak 9,145 pemeriksaan telah dijalankan yang merangkumi 9,076 pemeriksaan di peringkat peruncit dan 69 pemeriksaan di peringkat pemborong.

“Sebanyak 11 aduan telah diterima dan semua aduan tersebut telah diselesaikan,” katanya lagi.