KOTA KINABALU: Keadaan Rohana Joseph yang dilaporkan koma ketika berada di Vietnam baru-baru ini kini beransur baik selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, perkembangan positif itu dimaklumkan sendiri oleh pasukan doktor yang merawat pesakit berkenaan.
“Saya diberitahu bahawa keadaan pesakit beransur baik berbanding ketika beliau tiba di Kota Kinabalu dan kita yakin dengan kepakaran doktor-doktor yang ada di sini, insya-Allah pesakit ini akan dapat dirawat dengan sebaiknya dan sembuh secepat mungkin,” katanya selepas menziarahi Rohana di hospital berkenaan di sini, hari ini.
Rohana merupakan isteri kepada Jamri Herry yang juga kakitangan Majlis Sukan Negeri Sabah di bawah kementerian tersebut.
Dalam pada itu, Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas keprihatinan membantu mengurus kepulangan Rohana ke Sabah bagi mendapatkan rawatan segera.
Menurut beliau, sebaik menerima maklumat mengenai insiden itu, pihak kementerian segera berhubung dengan Yayasan Kebajikan Sabah selepas perkara tersebut turut sampai ke pengetahuan Ketua Menteri.
“Kita ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Ketua Menteri atas keprihatinan beliau apabila mengarahkan Yayasan Kebajikan Sabah untuk mengurus perjalanan balik pesakit ini supaya dapat dirawat di Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata, Rohana selamat tiba di Sabah pada Jumaat lalu sebelum dimasukkan ke HQE II untuk rawatan lanjut.
Nizam turut merakamkan penghargaan kepada barisan pegawai perubatan dan pakar hospital yang bertungkus-lumus memberikan rawatan terbaik kepada pesakit.
Katanya, beliau juga sempat bertemu suami Rohana, Jamri Herry yang disifatkan sebagai seorang yang tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Saudara Jamri turut melahirkan rasa syukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sabah khususnya Ketua Menteri atas inisiatif dan keprihatinan yang memudahkan segala urusan berkaitan rawatan isterinya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyambut baik pengumuman Pakej Daya Tahan Ekonomi (PACE) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menurutnya mampu membantu meringankan beban golongan belia khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Sudah pasti pengumuman Perdana Menteri ini adalah satu perkara yang amat diharap dan ditunggu-tunggu rakyat khususnya golongan belia.
“Ia akan membantu meringankan beban kos sara hidup selain memberi peluang kepada anak muda untuk meningkatkan kemahiran dan keupayaan diri,” katanya.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan menyelaras pelaksanaan program latihan dan kemahiran bersama agensi berkaitan supaya manfaat yang diumumkan kerajaan dapat benar-benar sampai kepada sasaran.
“Pengumuman ini akan memberi input tambahan kepada program-program kementerian dan kita mahu memastikan lebih ramai belia Sabah mendapat latihan serta kemahiran yang diperlukan,” katanya.






