Hanya 8 Peratus Kes AEFI Ada Kaitan Vaksin COVID-19

Hanya 8 Peratus Kes AEFI Ada Kaitan Vaksin COVID-19

0
SHARE

PUTRAJAYA – Hanya lapan peratus kes daripada Kesan Buruk Susulan Imunisasi (AEFI) dilaporkan mempunyai kaitan dengan pengambilan vaksin COVID-19.

Menurut Pengarah Agensi Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA), Dr. Roshayati Mohd. Sani, kesan AEFI yang serius amat jarang berlaku dan kemungkinan hanya akan timbul secara kebetulan.

“Setakat ini berdasarkan hasil semakan yang terperinci, cuma lapan peratus daripada kes AEFI yang serius disahkan memang ada kaitan dengan suntikan vaksin berkenaan…

“Semua kes AEFI serius dilaporkan oleh penerima dos imunisasi itu akan disiasat rapi dan dinilai bagi ditentukan memang ada hubung kait kesan sampingan dengan vaksin,” katanya menerusi laporan Kosmo.

Justeru, beliau juga menggesa agar individu yang mengalami AEFI yang serius untuk segera memaklumkan kepada pihak berkuasa termasuklah melalui aplikasi MySejahtera.

Tambahnya, ini bagi membolehkah kes disiasat dengan teliti dan dikongsi NPRA dengan pihak berkepentingan lain malah laporan itu dijadikan rujukan Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Berdasarkan perangkaan agensi itu sehingga 31 Januari lalu, sejumlah 3,458 laporan AEFI serius diterima dari seluruh negara sejak PICK dilancarkan pada 24 Februari tahun lepas.

Statistik menunjukkan majoriti besar kes AEFI melibatkan dos primer, sekali gus menyangkal tohmahan golongan antivaksin kononnya dos penggalak berisiko tinggi ada kesan sampingan.