SEMPORNA, SABAH – Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mematahkan cubaan penyeludupan minyak di perairan Pulau Bohayen di sini, semalam sekaligus memberkas dua suspek lelaki warganegara Filipina.
Tim Quick Reaction Force (QRF) Pulau Mataking semasa keluar membuat rondaan pada jam 2.45 pagi mengesan dua (2) buah bot laju yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kedua-dua bot itu dari arah Semporna menuju ke Sitangkai, Filipina namun salah satu daripadanya berjaya meloloskan diri.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut terdiri daripada dua (2) orang awak-awak lelaki tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah…
“Sebanyak 35 tong minyak petrol berkapasiti 35 liter, berjumlah sebanyak 1225 liter minyak petrol berada di dalam bot berkenaan.
“Bot tersebut ditahan atas kesalahan melakukan aktiviti penyeludupan minyak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 dan juga awak-awak bot tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.
Kesemua awak-awak bot telah dibawa ke Hospital Semporna bagi melaksanakan ujian saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna bagi siasatan lanjut.