
KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mewakili seluruh rakyat mengucapkan Selamat Hari Jadi yang Ke-68 kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Datuk Seri Panglima Dr. Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin.
Hajiji berkata TYT Sabah Ke-10 itu ‘ibarat payung perpaduan’ kepada seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama.
“Sekalian rakyat amat menghargai kestabilan dan keharmonian hidup yang telah kita kecapi sejak turun temurun…
“Perasaan kekitaan dan saling hormat menghormati dalam kalangan rakyat negeri Sabah merupakan nilai budaya hidup yang akan terus kita semai dan amalkan,” katanya dala ucapan istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan bintang serta pingat Negeri Sabah yang berlangsung pagi tadi di Istana Seri Kinabalu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima tahun ini.
“Saya berharap agar pengurniaan ini akan menyemarakkan lagi semangat dan iltizam semua penerima anugerah untuk terus menabur bakti dan memperkukuhkan usaha untuk sama-sama memajukan Negeri Sabah yang tercinta agar negeri ini terus maju, makmur, aman dan sentosa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata penularan pandemik COVID-19 di Sabah telah menunjukkan trend penurunan kerana pelbagai usaha Kerajaan Negeri untuk memvaksinasi rakyat.
Katanya ia jelas menunjukkan bahawa mereka yang lengkap dos suntikan vaksin adalah lebih terlindung dan kurang berisiko mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk.
“Perkembangan positif ini dapat terus dilihat sekiranya Sabah telah mencapai kadar vaksinasi 80 peratus imuniti kelompok…
“Setakat 29 September 2021, jumlah penduduk dewasa yang lengkap suntikan vaksin adalah sebanyak 64.3 peratus (64.3%) manakala jumlah penduduk dewasa sekurang-kurangnya menerima 1 dos adalah 73.9 peratus (79.3%).
“Perkembangan yang positif ini menyebabkan lebih banyak sektor ekonomi dibuka di Sabah bermula kelmarin, dengan memastikan semua pekerja dan pelanggan lengkap suntikan vaksin serta berstatus risiko rendah,” katanya lagi.
Hajiji turut menekankan bahawa Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diterajui Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mewujudkan pimpinan prihatin yang komited untuk membangunkan negeri.