KUCHING, SARAWAK – Lima (5) pengendali perniagaan mata wang kripto di Kota Samarahan dikesan mencuri bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan dalam operasi yang dijalankan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB), Unit Pemeriksa Elektrik (EIU), Kementerian Utiliti Sarawak dan polis, baru-baru ini.
Pengendali tersebut dipercayai menjalankan kegiatan secara aktif dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di lima buah rumah kedai dengan anggota operasi menemukan sistem pendawaian yang tidak selamat digunakan untuk memintas meter pengukur penggunaan elektrik dalam premis berkenaan.
“Ketegangan wayar tidak mengikut spesifikasi dan tergantung di tangga dan ini mudah menyebabkan kebakaran dan renjatan elektrik kepada penghuni,” menurut SEB dalam kenyataan yang dipetik Bernama semalam.
“Bacaan beban sebenar yang diambil di lokasi menunjukkan kesemua lima premis berkenaan menggunakan bekalan elektrik bernilai sekurang-kurangnya RM100,000 sebulan dengan 200 buah peralatan perlombongan mata wang digital itu beroperasi 24 jam,” katanya.
SEB berkata pasukan operasi itu terpaksa memecah masuk premis berkenaan selepas memperoleh waran geledah dari mahkamah berikutan pemilik premis gagal dihubungi.Susulan itu lima laporan polis dibuat dan pemilik premis akan dipanggil untuk membantu siasatan, katanya.
Menurut SEB, sejak Januari lalu hingga sekarang, sebanyak 15 kes kecurian bekalan elektrik dikesan dan kesemua kes sedang menunggu pendakwaan.
Di bawah Seksyen 33 (5) Ordinan Elektrik Sarawak, kesalahan mencuri bekalan elektrik memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 dan/atau lima tahun penjara.