BEAUFORT, SABAH – Seorang warga Indonesia ditahan selepas datang ke rumah bekas majikannya dengan sebilah parang dan mengugut untuk bakar rumah di Kampung Siaun, Menumbok tersebut kelmarin.
Ketua Polis Beaufort, DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata kejadian 8 pagi itu melihat mangsa dalam keadaan tidak puas hati berteriak mencari ahli keluarga bekas majikannya.
“Namun ketika itu hanya anak lelaki berumur 18 tahun bekas majikan itu berada di rumah yang bertindak menghubungi ayahnya sebelum laporan polis dibuat,” katanya.
Suspek beredar dan tidak lama kemudian, bekas majikan itu sampai selepas mendapat mesej daripada suspek pada aplikasi Whatsapp yang berniat membakar rumah beliau.
“Motif suspek dipercayai kerana tidak berpuashati diberhentikan kerja. Suspek mengeluarkan kata-kata ugutan akan membakar rumah bekas majikannya pada malam hari…
“Bekas majikan itu berkata suspek dibuang kerja kerana malas dan pengambil dadah jenis syabu,” jelasnya.
Hasil siasatan berjaya menahan suspek di tepi jalan Kampung Kayul pada Jalan Kuala Penyu – Menumbok kira-kira pukul 7.40 malam hari yang sama.
Yusoff berkata siasatan masih dijalankan kerana suspek tidak mengaku perbuatannya itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang membawa kepada hukuman penjara yang boleh sampai dua (2) tahun sehingga tujuh (7) tahun jika ugutan hendak menyebabkan kematian, cedera parah atau hendak menyebabkan kebinasaan apa-apa harta dengan api,” kata Yusoff.





