BINTULU, SARAWAK – Seorang penyabung ayam tegar maut tertusuk taji yang diikat pada kaki pelaganya di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Batu 2, Jalan Bintulu-Miri.
Memetik sumber New Straits Times, Ketua Polis Daerah Supt Zulkipli Suhaili berkata insiden 2.30 petang tersebut berlaku pada hari Isnin lalu.
“Ayam sabung itu terus melompat ke arah mangsa, 42 tahun, dengan taji yang tertusuk pada bahagian pahanya…
“Mangsa kemudian mengalami pendarahan teruk dan dihantar ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 7.29 malam.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Susulan itu enam lelaki antara umur 31 hingga 53 tahun ditahan pada 1.30 tengah hari, pada hari yang sama, bagi siasatan lanjut.
Mereka disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3(1) Pencegahan Kekejaman terhadap Haiwan serta Peraturan 17(2) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).
Zulkipli berkata suspek-suspek tersebut boleh dipenjara selama tiga (3) bulan atau didenda RM 1,000 jika disabit kesalahan.
“Pada masa yang sama mereka juga boleh dipenjara sehingga enam (6) bulan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu Pelan Pemulihan Negara (PPN) berlangsung dengan kompaun tidak melebihi RM50,000,” jelasnya.