Thailand Kedua Tertinggi Di Asia Tenggara Dalam Kadar Kematian Akibat Senjata Api

Thailand Kedua Tertinggi Di Asia Tenggara Dalam Kadar Kematian Akibat Senjata Api

0
SHARE

BANGKOK, THAILAND – Thailand berada di kedudukan kedua dalam senarai kadar kematian tertinggi akibat jenayah menggunakan senjata api di Asia Tenggara selepas Filipina.

Senarai negara dengan kadar kematian akibat jenayah senjata api tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk pada 2019 telah dikeluarkan oleh World Population Review.

Menurut laporan berita Thaiger, Thailand merekodkan 2,351 kematian akibat senjata api pada 2019.

Jumlah itu sekitar 31 peratus lebih tinggi daripada angka untuk Pakistan iaitu sebuah negara yang secara rutin digambarkan sebagai ‘bergolak’ dan menjadi tempat tinggal kepada beribu-ribu pengganas.

Pada Khamis lalu, Thailand merekodkan satu lagi kejadian tembakan dahsyat di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di timur laut negara itu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 36 kematian.

Suspek yang merupakan seorang bekas pegawai polis bersenjatakan senapang, pistol dan pisau, bertindak menyerang mangsa sebelum bertindak membunuh anggota keluarganya dan membunuh diri.

Insiden tembakan besar-besaran lain yang berlaku di Thailand termasuk di Makhon pada 2020 dan 2021…

Pada 2021, seorang askar membunuh 21 orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi di wilayah itu. Setahun sebelumnya, seorang lagi askar menembak 29 orang dan mencederakan sebilangan penduduk sebelum ditembak mati oleh pasukan komando.

Laporan oleh portal berita Thai PBS pada bulan lepas mendedahkan beberapa fakta yang membimbangkan mengenai penggunaan senjata api di Thailand.

Penduduk Thailand dilaporkan memiliki kira-kira 10.3 juta senjata api secara sah atau tidak sah…

Sehingga tahun lalu, jumlah senjata api berdaftar di Thailand mencecah lebih enam juta, demikian menurut Kementerian Dalam Negeri. Ini bermakna terdapat empat juta senjata api tidak berdaftar atau haram di Thailand.

Di bawah undang-undang Thailand, orang yang tidak mempunyai pekerjaan, pendapatan atau kediaman secara tetap tidak boleh memiliki senjata api. Penagih dadah dan penjenayah lain juga dilarang daripada memilikinya.

Akan tetapi, pakar-pakar senjata mendakwa bahawa orang ramai boleh melepasi  undang-undang dengan melakukan rasuah dan ‘hubungan dalam birokrasi’, lapor Thai PBS.