Pelaksanaan JENDELA Berjaya Tingkatkan Liputan 4G Di Sabah, Sarawak

Pelaksanaan JENDELA Berjaya Tingkatkan Liputan 4G Di Sabah, Sarawak

0
SHARE
Pembinaan menara menara komunikasi baharu di Kampung Rungus Nahaba, Tuaran adalah antara 51 menara baharu melalui projek JENDELA yang terawal dilaksanakan di negeri Sabah...

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjaya meningkatkan peratusan liputan 4G di Sabah dan Sarawak pada suku kedua tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin yang dipetik Bernama berkata peratusan liputan 4G bagi kawasan berpenduduk di Sabah meningkat kepada 83.48 peratus (83.48%) pada suku kedua 2021 berbanding 73.4 peratus (73.4%) sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku kedua 2020.

“Sementara peratusan liputan 4G di kawasan berpenduduk di Sarawak meningkat kepada 80.84 peratus pada suku kedua 2021 berbanding 73.67 peratus sebelum pelaksanaan JENDELA pada suku kedua 2020,” katanya ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada persidangan Dewan Negara di sini, semalam.

Beliau berkata di bawah inisiatif JENDELA juga, sebanyak 310 penempatan Orang Asli akan mula mendapat liputan perkhidmatan 4G melalui penaiktarafan alat pemancar sedia ada serta pembinaan menara baharu dijangka mula dilaksanakan pada suku keempat tahun ini.

Zahidi Zainul Abidin…

Sementara itu, Zahidi berkata pihak kementerian dimaklumkan kerajaan negeri Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sedang melaksanakan pembinaan 300 menara telekomunikasi meliputi kawasan pesisir dan luar bandar negeri itu.

Menurutnya, sejumlah 150 lokasi di Sarawak juga tersedia dengan capaian kepada perkhidmatan jalur lebar melalui teknologi akses wayarles tetap yang dibangunkan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) iaitu sebuah syarikat milik kerajaan negeri Sarawak.