MOSCOW, RUSIA – Seorang wartawan terbunuh setelah Russia melancarkan serangan udara ke atas ibu negara Ukraine di Kyiv.
Serangan tersebut dilancarkan ketika Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres mengadakan lawatan ke Ukraine.
Ia merupakan serangan pertama ke atas ibu negara Ukraine dalam tempoh dua minggu yang mengakibatkan seorang wartawan terkorban, LAPOR AFP…
Penerbit bagi Radio Free Europe/Radio Liberty Vera Gyrych terbunuh apabila peluru berpandu Russia terkena bangunan kediamannya.
Menurut Kementerian Pertahanan Russia, pihaknya mengerahkan `senjata udara berketepatan tinggi dan jarak jauh’ yang memusnahkan bangunan pengeluaran peluru berpandu serta perusahaan angkasa lepas Artyom di Kyiv.
Justeru, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa tindak balas global yang lebih tegas terhadap serangan Khamis lalu, yang turut dimaklumkan dalam perbincangannya dengan Guterres.
“Ia adalah penghinaan yang disengajakan dan kejam dilakukan oleh Russia terhadap PBB,” katanya.
Guterres turut melawat Bucha dan pinggir bandar Kyiv lain yang mana Moscow didakwa melakukan jenayah perang. Russia menafikan membunuh orang awam.
Sementara itu, Jerman menyifatkan serangan `tidak berperikemanusiaan’ itu menunjukkan Presiden Russia, Vladimir Putin tidak menghormati undang-undang antarabangsa.