LAHAD DATU: Golongan pendidik, pelajar dan penggiat industri berpeluang mengetengahkan kreativiti serta hasil inovasi masing-masing menerusi BOR-NEO 26 atau Borneo National TVET Innovation & Career Convergence 2026 yang bakal berlangsung di Kolej Vokasional Lahad Datu (KVLD).
Pengarah BOR-NEO 2026, Ts Nor Abdi Jaumi berkata, penganjuran program itu bertujuan menyediakan platform kepada peserta untuk mengetengahkan idea, hasil penyelidikan dan amalan terbaik yang boleh memberi manfaat kepada sektor pendidikan, industri serta masyarakat.
“BOR-NEO 26 bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform untuk peserta berkongsi idea, mengetengahkan hasil inovasi dan membuktikan bahawa bidang TVET mempunyai potensi besar dalam melahirkan penyelesaian kreatif yang memenuhi keperluan semasa.
“Kami berharap penyertaan daripada pelbagai latar belakang dapat menggalakkan budaya inovasi, selain membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kerjasama yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan TVET,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Program itu menawarkan empat kategori pertandingan, iaitu Inovasi, Kajian Tindakan, Amalan Terbaik dan Video Pendek.
Penyertaan dibuka sehingga 31 Oktober ini, manakala pengumuman finalis dijadualkan pada 3 November.
Acara kemuncak BOR-NEO 26 akan berlangsung pada 30 November ini di Dewan Palma, Kolej Vokasional Lahad Datu.
Menurut Nor Abdi, penganjuran program itu turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan pengiktirafan terhadap usaha dan kreativiti mereka menerusi hadiah berupa wang tunai, trofi, plak serta sijil, mengikut kategori dan pencapaian masing-masing.
“Penyertaan ini diharap bukan sahaja menjadi peluang untuk peserta bersaing, tetapi turut membantu mereka membina keyakinan, memperluas jaringan profesional dan berkongsi amalan terbaik yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti TVET serta industri.
“Kami juga mengalu-alukan penyertaan warga KVLD dengan tawaran diskaun 50 peratus bagi yuran penyertaan untuk semua empat kategori pertandingan,” katanya.
Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan mendaftar menerusi pautan https://docs.google.com/forms/d/1HfkOE2GXZwGq6DX8KYWcqxbOZ9wwhP5nna4DTzTd5a4/preview.






