KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yasin sebentar tadi sah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan dalam satu Perutusan Khas dan Sidang Media jam 3 petang tadi yang mana turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas mendapati Muhyiddin telah hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkan olehnya sebelum ini juga tidak mendapat sokongan parti politik lain.
“Saya letak jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh anggota Kabinet seperti dikehendaki Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Muhyiddin pada masa yang sama merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak sepanjang beliau mengemudi kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Penghargaannya juga ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus siang dan malam untuk memerangi pandemik COVID-19.
“Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam yang beri kerjasama sepenuhnya dalam melaksanakan dasar yang diputuskan kerajaan PN…
“Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang,” tambah beliau.
Muhyiddin Yassin di akhir ucapan berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa kerana tempoh dua bulan akan datang adalah penting kerana bakal menyaksikan negara mencapai imuniti kelompok (herd immunity).
“Segala perancangan yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak boleh terbantut, sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk kita pastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan…
“Justeru momentum program vaksinasi tidak boleh terganggu,” katanya dalam perutusan khas itu.





