KOTA KINABALU, SABAH – Penubuhan 94 Kelab Malaysiaku di Sabah menjadi antara saluran terbaik untuk membina karakter para pelajar.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Datuk Raisin Saidin berkata kelab yang dikelolakan oleh Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah itu dapat membantu usaha negara untuk membina insan yang mempunyai jati diri yang baik.
“Saya mohon supaya pegawai-pegawai di JPNS merangka satu program yang terancang dan teratur serta mengadakan kerjasama dengan Jabatan Penerangan Sabah untuk membincangkan bagaimana program yang sangat baik itu dapat dilaksanakan di pelbagai sekolah.
“Salah satu perkara yang kita tekankan sekarang adalah cara murid-murid menyampaikan idea dan pemikiran dengan berkesan dan yang paling penting ialah komunikasi itu dapat difahami oleh pendengar ataupun orang lain,” katanya kepada media selepas menerima kunjungan hormat Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, pada Rabu.
Menurut Raisin, selain Kelab Malaysiaku potensi kerjasama lain bersama JaPen Sabah adalah dalam membantu menyebarkan maklumat dan perancangan yang dibuat oleh JPNS.
“Sekarang ini kita bersungguh-sungguh untuk mewujudkan satu landskap baharu pendidikan di Sabah dan saya yakin bahawa JaPen boleh menjadi rakan strategik untuk menghebahkan idea dan juga cadangan-cadangan JPNS.
“JPNS harus memainkan peranan memastikan anak-anak murid yang berada di sekolah itu dapat kita letakkan pada satu kedudukan yang tertinggi sebab hasrat kita ialah untuk memastikan anak-anak murid ini dapat kita naikkan dari segi maruah dan harga diri mereka,” tambahnya.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Supian Musa, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Indang Kasi Sibin dan Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Nurani Fauziah Derin. — JABATAN PENERANGAN SABAH