Dua Lelaki Cedera Parah Dalam Nahas Lori Bertembung D-Max di Ranau

Dua Lelaki Cedera Parah Dalam Nahas Lori Bertembung D-Max di Ranau

0
SHARE

RANAU: Dua lelaki cedera parah selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori treler dalam kemalangan di Kampung Nunuk Ragang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.37 petang itu, seorang mangsa berusia 78 tahun mengalami kecederaan parah, manakala seorang lagi mangsa berusia 24 tahun tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, PPgB Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler dan sebuah Isuzu D-Max. Terdapat dua mangsa di dalam D-Max, di mana seorang daripadanya tersepit dan berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

“Kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke Klinik Kesihatan Penginatan bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, pemandu lori berusia 43 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Operasi yang turut melibatkan dua anggota KKM dan empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 7.27 malam selepas keadaan disahkan selamat.