Polis Keluarkan 28 Saman Pelbagai Kesalahan Lalu Lintas Dalam Operasi Bersepadu di...

Polis Keluarkan 28 Saman Pelbagai Kesalahan Lalu Lintas Dalam Operasi Bersepadu di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Polis mengeluarkan sebanyak 28 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bermula 24 hingga 25 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, operasi itu melibatkan kerjasama pelbagai cawangan termasuk Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Balai Polis Kota Belud serta Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), membabitkan seorang pegawai kanan dan 10 pegawai rendah polis.

Menurutnya, operasi dijalankan di sekitar Jalan Pan Borneo berhampiran Kuala Abai dan Batu Gadung susulan aduan orang awam serta sebagai langkah pencegahan terhadap aktiviti samseng jalanan dan gangguan ketenteraman awam.

“Sepanjang operasi dijalankan, seramai 43 individu dan 30 buah kenderaan telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 28 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, tiada nombor pendaftaran kenderaan, penggunaan ekzos ubah suai dan lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau turut memaklumkan sebuah motosikal telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Katanya, pelaksanaan operasi bersepadu ini merupakan langkah proaktif pihak polis untuk mengekang aktiviti samseng jalanan, di samping meningkatkan tahap keselamatan awam.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan dan tindakan undang-undang.