KOTA KINABALU: Perbadanan Pinjaman Sabah (Sabah Credit Corporation) diharap terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negeri menerusi pelaksanaan program pembiayaan yang inklusif dan mampan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, agensi itu perlu kekal relevan serta memberi impak positif kepada rakyat melalui tadbir urus yang baik dan pengurusan kewangan berhemah.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat daripada delegasi Perbadanan Pinjaman Sabah yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Charles Peter Mojuntin, di pejabatnya, pada Selasa.
Dalam pertemuan tersebut, Masidi turut diberi taklimat mengenai perkembangan semasa perbadanan termasuk prestasi kewangan, inisiatif pembiayaan serta perancangan strategik dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri.
Menurutnya, aspek integriti, ketelusan dan kecekapan perlu sentiasa menjadi keutamaan dalam pengurusan bagi memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.
“Perbadanan ini mempunyai peranan besar dalam menyokong pembangunan ekonomi negeri, justeru setiap program pembiayaan perlu dilaksanakan secara berkesan dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau turut menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh perbadanan itu dan berharap ia terus memperkukuh peranannya dalam memacu pembangunan Sabah.






