KINABATANGAN: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila anaknya dibaham buaya di hadapan mata ketika mereka menjalankan aktiviti menjala udang di sungai berhampiran Kampung Segaliud, Jalan masuk SK Segaliud Seri Linkas, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.22 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Rayyan Abdullah, 28, dilaporkan disambar reptilia berkenaan secara tiba-tiba ketika berada di sungai bersama bapanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, PPgB Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan pada jam 8.22 malam sebelum empat anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai.
“Maklumat awal di lokasi mengesahkan seorang mangsa lelaki dibaham buaya ketika menjala udang di sungai berkenaan, dan kejadian itu disaksikan oleh bapanya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, operasi SAR segera dilancarkan sebaik pasukan tiba di lokasi pada jam 9.10 malam bagi mengesan mangsa yang masih belum ditemui setakat ini.
Operasi diketuai oleh PBK I Jasmani Osni dengan kekuatan empat anggota menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis VIGO.
“Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.






