Dua Cedera, Seorang Selamat, Mitsubishi Dinaiki Terbabas Sendiri di Jalan Keningau-Tambunan

Dua Cedera, Seorang Selamat, Mitsubishi Dinaiki Terbabas Sendiri di Jalan Keningau-Tambunan

0
SHARE

TAMBUNAN: Dua lelaki mengalami kecederaan manakala seorang lagi dilaporkan selamat selepas Mitsubishi Sedan terbabas sendiri di tepi jalan dalam kejadian kemalangan di Kampung Gagaraon Jalan Keningau-Tambunan awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Michell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 2:57 pagi.

Susulan itu katanya, seramai tujuh anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 5 kilometer dan tiba pada jam 3:02 pagi.

“Lapor kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Sedan terbabas sendiri di tepi jalan.

“Terdapat tiga mangsa yang mana dua lelaki masing-masing berusia 20 tahun mengalami kecederaan, manakala seorang mangsa lagi, lelaki tidak mengalami kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan Bomba di lokasi.

“Pasukan Bomba bertindak mengambil maklumat di lokasi dan Pasukan EMRS memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Tambunan untuk menerima rawatan susulan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Agensi lain yang turut bersama-sama dalam operasi ialah pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada jam 03:33 pagi.