KOTA KINABALU: “Kalau tiba masanya 40 peratus itu belum dibayar, maka rakyatlah yang akan membuat keputusan menentukan kepimpinan negara,” tegas Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan tuntutan 40 peratus hasil Sabah, sambil menegaskan pendiriannya kekal konsisten memperjuangkan hak negeri itu.
Menurutnya, tindakan beliau meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan sebelum ini adalah kerana tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan membuat rayuan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi berhubung tuntutan tersebut.
“Rayuan kedua adalah untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu dan Mahkamah Rayuan telah membenarkannya, sekali gus menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi.
“Walaupun kita tidak bersetuju dengan rayuan itu, kita tetap menghormati proses perundangan seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah, semalam.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah bagaimanapun menegaskan rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri perlu diteruskan dengan niat baik dan dimuktamadkan secepat mungkin.
Katanya, isu tuntutan 40 peratus yang berlarutan hampir empat dekad tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian.
“Rakyat Sabah sudah lama menunggu. Jika perkara ini masih belum dimuktamadkan atau tiada pembayaran dibuat apabila tiba masanya, maka rakyatlah yang akan menilai dan membuat keputusan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa hak 40 peratus Sabah merupakan perkara perlembagaan yang perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan termasuk kekangan kewangan negara.
“Perkara perlembagaan berkaitan hak Sabah perlu dipisahkan daripada dasar semasa atau peruntukan belanjawan. Untuk tahun-tahun akan datang, kerajaan boleh merancang supaya hasil Sabah itu kekal di Sabah.
“Ini bukan perkara yang sukar sekiranya ada kesungguhan untuk melaksanakannya,” katanya.
Ewon sekali lagi menegaskan bahawa UPKO akan terus konsisten menyuarakan pendirian berhubung perkara berkenaan melalui pelbagai platform termasuk di Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Kabinet Negeri.
“Kita akan terus bersama rakyat Sabah dalam memperjuangkan hak negeri ini sehingga ia direalisasikan,” katanya.






