CYBERJAYA: Sebanyak 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di media sosial dan platform digital.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah membuka 36 kertas siasatan setakat ini melibatkan kes berkenaan.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, enam kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan lanjut.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.
MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.
Sehubungan itu, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
Orang ramai turut diingatkan agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.






