Kewujudan 2 Kluster Baharu Melonjakkan Kes COVID-19 Di Sabah Hari Ini

Kewujudan 2 Kluster Baharu Melonjakkan Kes COVID-19 Di Sabah Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Dua (2) kluster baharu bantu melonjakkan kes harian COVID-19 kepada 675 kes hari ini (Rabu) iaitu peningkatan 126 kes berbanding kelmarin.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sebanyak 18 daerah mencatatkan peningkatan manakala sembilan (9) daerah lagi mencatatkan penurunan.

“Sebanyak 10 daerah mencatatkan peningkatan ketara iaitu Ranau +34 kes, Kota Kinabalu +26 kes, Tuaran +15 kes, Kinabatangan +15 kes, Sandakan +13 kes, Keningau +13 kes, Sipitang +13 kes, Kota Marudu +12 kes, Papar +12 kes dan Putatan +10 kes…

“Namun hanya dua (2) daerah yang menunjukkan penurunan signifikan iaitu Tawau -23 kes dan Kudat -18 kes,” katanya dalam satu rumusan harian.

Kluster Sawit Jati yang dikesan di Kinabatangan setakat ini telah menjangkiti 25 orang dengan 22 kes baharu pada hari ini.

Kluster Tumbalang di daerah Ranau pula etakat ini telah menjangkiti 56 orang dan dua (2) daripadanya adalah kes baharu pada hari ini.

Kedua-dua kluster terbabit adalah jenis komuniti dan dipetik daripada akaun media Twitter peribadi milik Masidi, beliau menjelaskan Kluster Tumbalang tercetus daripada seorang pemandu ‘kereta sapu’.

Daerah Tongod dan Kalabakan turut melihat kes baharu setelah dua hari mencatatkan sifar (0) kes.

Dalam pada itu, beliau berkata Saringan Bergejala kekal tinggidengan 258 kes atau 38 peratus (38.2%) daripada kes keseluruhan.

“Kes yang sinonim dengan kes-kes sporadik ini seringkali dikaitkan dengan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan.

“Daripada 675 kes hari ini, 442 kes atau 65 peratus (65.48%) adalah kes yang berlaku dan didaftarkan dalam tempoh 24 jam yang lalu…

“Selebihnya adalah kes yang didaftar lewat dua (2) hari atau lebih selepas keputusan saringan diketahui,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, kes jangkitan yang dianggap serius kekal rendah.

Masidi berkata jumlah kes dalam Kategori 3 dan 4 masing-masing empat (4) orang manakala cuma seorang dalam Kategori 5.

Katanya, kebanyaklan kes jangkitan adalah dalam Kategori 2, iaitu 550 orang (81.5%) dan Kategori 1, 109 orang (16.2.%). Tujuh (7) kes lagi masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (03 Nov) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 89 (63)
Kota Belud – 65 (58)
Ranau – 60 (26)
Kota Marudu – 56 (44)
Beaufort – 45 (52)
Tuaran – 35 (20)
Kinabatangan – 32 (17)
Sandakan  -31 (18)
Penampang – 30 (24)
Keningau – 27 (14)
Papar – 25 (13)
Tenom – 25 (32)
Lahad Datu – 19 (21)
Pitas – 19 (20)
Kudat – 18 (36)
Sipitang – 17 (4)
Tambunan – 15 (19)
Telupid – 14 (6)
Putatan – 14 (4)
Beluran – 8 (12)
Nabawan – 8 (6)
Semporna – 5 (2)
Kuala Penyu – 5 (9)
Kunak – 5 (2)
Tawau – 4 (27)
Tongod – 3 (0)
Kalabakan – 1 (0)