DBKK Ambil 80 Sampel Makanan Bazar Ramadan

DBKK Ambil 80 Sampel Makanan Bazar Ramadan

0
SHARE
Sabin
Sabin (kiri) semasa menyampaikan cenderahati kepada Tun Juhar (tengah) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil sebanyak 80 sampel makanan sepanjang dua minggu pengoperasian bazar Ramadan.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata jumlah sampel tersebut diambil melalui operasi DBKK bersama Kementerian Kesihatan dan agensi-agensi lain untuk memeriksa makanan yang dijual sekiranya terdapat sebarang kandungan tercemar oleh bakteria, seperti salmonella atau escherichia coli (e.coli).

“Setakat ini hasil dari kajian sampel-sampel tersebut mendapati tidak ada sebarang pencemaran makanan yang dijual oleh peniaga-peniaga bazar Ramadan.

“Selain itu, bagi menjamin kebersihan tapak selepas bazar, para pekerja DBKK turut ditugaskan untuk terus membersihkan tapak bazar sejurus sahaja tamat operasi penjualan.

“Para peniaga bazar Ramadan juga sentiasa mematuhi segala peraturan yang ditetapkan oleh DBKK untuk membuang sisa makanan di tempat yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa DBKK bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di sini, pada Rabu.

Pada majlis tersebut, seramai 20 pelajar tahfiz Madrasah Al tahfiz Al Quran Nahdatul Ilmiah menerima sumbangan wang tunai yang disampaikan oleh Tun Juhar Mahiruddin diiringi Isteri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni.

Manakala lima buah masjid iaitu Masjid Al-Hidayah Kampung (Kg.) Sabang Baru Numbak, Manggatal, Masjid Nur-Hidayah Kampung Boronuon,Telipok, Masjid Ar-Ramadan Kampung Kalansanan, Inanam, Masjid Al-Munir Kampung Darau, Manggatal dan Masjid Raudah Kampung Bandulan, Manggatal menerima sumbangan berupa sejadah.

Turut menerima sumbangan sejadah, Surau Al-Jannah, Taman Sepanggar Manggatal, Surau Al-Ikhlas Kampung Kopungit, Kota Kinabalu ,Surau Al-Amin Kampung Kionsom Kecil, Inanam, Surau Al-Ikhlas Taman Puri Warisan, Inanam dan Surau Al-Islah Kampung Lobou 1, Manggatal.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya, Timbalan DUN Speaker, Datuk Al Hambra Juhar, Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, Setiausaha Persekutuan, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Pesuruhjaya Polis, Datuk Jauteh Dikun. — JABATAN PENERANGAN SABAH