KOTA KINABALU, SABAH – Sabah berkongsi pandangan sama dengan Sarawak bahawa hanya sedikit atau tiada perundingan dibuat dengan kedua-dua kerajaan Negeri sebelum pewujudan undang-undang mengenai cukai pelancongan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun.
Bagaimanapun, beliau mengulangi bahawa Sabah akan terus bekerjasama dengan negeri jiran itu untuk persamaan dalam berurusan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mencari penyelesaian ke atas isu itu.
Menurutnya, ketika cukai pelancongan dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Persekutuan pada 2016, Sabah dan Sarawak menolaknya.
“Kerajaan Sabah menolak cadangan itu dan telah memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan di peringkat Persekutuan. Sebab kami menolak cadangan cukai itu antara lain ditekankan dalam satu kenyataan akhbar yang saya buat dan dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Bantahan kerajaan Sarawak itu, katanya, disampaikan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman ketika lawatan pertama Datuk Amar Abang Johari ke Kota Kinabalu selaku Ketua Menteri Sarawak.
Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bersetuju bekerjasama untuk mencari pendirian sama ke atas cadangan cukai pelancongan itu.
“Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan meneruskan tindakan menggubal undang-undang dikenali sebagai Akta Cukai Pelancongan 2017 untuk mengenakan levi (cukai pelancongan) kepada semua pelancong yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, baru-baru ini,” katanya.
Masidi berkata kelulusan Akta untuk mengenakan cukai pelancongan itu mencetuskan dinamik baharu dan satu cabaran baharu di pihak Kerajaan Negeri.
“Kerajaan akan membincangkan dan menentukan pendirian kami mengenai Akta Cukai Pelancongan 2017 pada mesyuarat Kabinet akan datang,” tambahnya.
Mengenai cadangan bahawa Sabah harus mengikut jejak langkah Sarawak yang menarik diri daripada Lembaga Pelancongan Malaysia (MTB), Masidi berkata langkah itu disalahertikan sebagai keluar dari regim cukai pelancongan.
Beliau menjelaskan bahawa penarikan diri Sarawak daripada MTB tidak menyamai tindakan keluar dari peruntukan Akta baharu itu ataupun menolaknya.
MTB tidak menentukan dasar-dasar pelancongan atau undang-undang berkaitan pelancongan. Ia adalah sayap pemasaran dan penggalakan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan,” katanya.
– HarianEkspres