LAHAD DATU, SABAH – Seorang warganegara Indonesia dijatuhkan hukuman penjara SATU (1) tahun oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan kad pengenalan milik orang lain sehingga melengkapkan vaksin COVID-19.
Wanita yang tidak diketahui nama atau umur sebenarnya itu dituduh melakukan tiga (3) kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Kesalahan PERTAMA adalah mengunakan salinan MyKad orang lain atas nama Marujum Pengiran.
Kesalahan KEDUA adalah wanita terbabit mengunakan salinan MyKad berkenaan untuk mendapatkan suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 17 Ogos 2021 di Fasiliti Pemberian Vaksin DAVTC, Lahad Datu.
Kesalahan KETIGA adalah wanita tersebut mengunakan salinan MyKad yang sama untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin COVID-19 pada 7 September 2021 juga di fasiliti yang sama.
Pegawai Perhubungan Korporat Jabatan Pendaftaran Negara Sabah, Rommel Cruz berkata, “Marujum” dipanggil untuk soal siasat di pejabat cawangan Lahad Datu Selasa lalu setelah mendapati ketidakselarasan dalam perisian sistem.
“Beliau telah menggunakan salinan pemilik asal MyKad tersebut sahaja semasa mengambil kedua-dua dos vaksin,” jelasnya.
Hakim Majistret, Ryan Sagirann Rayner Jr. menjatuhkan hukuman penjara satu (1) tahun bagi setiap kesalahan tersebut yang dijalankan serentak bermula dari masa tertuduh ditangkap.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohd Naser Mohd Nadzeri dan Nurul Fariza Abdullah manakala tertuduh diwakili oleh peguam Muhammad Abdul Karim.