Pelajar Tingkatan Dua Buang Bayi Dalam Semak Ditahan Polis

Pelajar Tingkatan Dua Buang Bayi Dalam Semak Ditahan Polis

0
SHARE
PDRM
Logo PDRM ( Sumber Foto: Google )

KUCHING, SARAWAK – Seorang pelajar tingkatan dua ditahan polis pada Rabu selepas membuang bayi yang baru dilahirkannya di kawasan semak perumahan Bandar Baru Samariang.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata tangkapan suspek berusia 14 tahun itu dilakukan di kawasan Matang pada pukul lapan malam.

Penemuan bayi perempuan itu dibuat orang awam kira-kira sembilan pagi hari yang sama.

“Anggota di lokasi mendapati bayi berkenaan masih hidup serta dalam keadaan sihat.

“Bayi berkenaan dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan dirujuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

Difahamkan, bayi berkenaan ditemukan di dalam beg plastik selepas tangisannya didengar orang lalu lalang kawasan terbabit.

Satu video yang tular menunjukkan seorang wanita memegang dan membawa bayi itu ke sebuah kedai makan berhampiran dengan orang ramai yang prihatin membantu membersihkannya.

“Suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tambah Ahsmon.