
KUALA LUMPUR – Skuad Harimau Malaya tumbang dengan mudah kepada skuad bola sepak Vietnam dengan 3-0 pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam tadi.
Pada babak pertama, gol Vietnam dihasilkan melalui rembatan kencang Nguyen Quang Hai yang mana pemain terbaik Piala AFF 2018 pada minit 32.
Khairul Fahmi Che Mat sekali lagi tewas hanya empat minit selepas gol pertama dan kali ini melalui Nguyen Chong Phuong bijak memperdaya pertahanan Malaysia sebelum menggegarkan jaring gawang gol Malaysia.
Bersambung pada babak kedua, pengendali skuad Harima Malaya, Cheng Hoe yang melakukan pertukaran apabila memberikan kepercayaan kepada Guilherme de Paula dan R Kogileswaran untuk menambah sengat jentera serangan.
Walaupun ada sedikit perubahan ditunjukkan pada skuad negara, namun ia tidak mencukupi untuk menghasilkan sebarang gol.
Sebaliknya, Vietnam yang membuatkan Malaysia terkedu apabila berjaya menambah gol ketiga menerusi Hoang Duc pada minit ke-88.
Kemenangan itu menyaksikan juara bertahan itu melebarkan rekod empat kemenangan berturut turut ke atas skuad Harimau Malaya selain tidak tewas dalam tujuh pertemuan selepas kali terakhir kecundang, tujuh tahun lalu.