Pencari Pekerjaan Perlu Bersifat Terbuka Dalam Menerima Pekerjaan Bukan Pilihan

Pencari Pekerjaan Perlu Bersifat Terbuka Dalam Menerima Pekerjaan Bukan Pilihan

0
SHARE

SANDAKAN, SABAH – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Yakub Khan menggesa agar pencari pekerjaan di negeri ini bersifat terbuka dan merebut peluang menimba ilmu serta pengalaman dengan menerima pekerjaan bukan pilihan.

Jelasnya, peluang pekerjaan yang diinginkan tidak mencukupi di Sabah berbanding di Semenanjung untuk ditawarkan kepada pencari pekerjaan sesuai dengan kelayakan pendidikan mereka.

“Maklumat yang saya dapat, banyak pekerjaan di sektor perladangan di Sabah…ia (perladangan) juga menawarkan peluang sangat baik untuk diri sendiri…

“Kita perlu mengubah mentaliti bahawa perlu pekerjaan sesuai dengan kelayakan yang ada sedangkan tiada. Sampai bila perlu tunggu sehingga pekerjaan itu ada?” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kerjaya Perdana peringkat Sandakan di sini.

Dalam karnival itu, lebih 500 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang ditawarkan oleh 17 buah syarikat terlibat.

Yakub juga menyeru agar golongan pencari pekerjaan, terutamanya siswazah, perlu mensyukuri rezeki yang ada bagi meneruskan kelangsungan hidup memandangkan negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.