KKM Siasat Satu Lagi Kes kematian Babitkan Pengamal Perubatan Didakwa Dibuli

KKM Siasat Satu Lagi Kes kematian Babitkan Pengamal Perubatan Didakwa Dibuli

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat satu lagi kematian membabitkan pengamal perubatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang yang didakwa dibuli, lapor Sinar Harian hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya melakukan siasatan dalaman sebaik sahaja menerima aduan berkaitan perkara tersebut.

“Saya maklum ada pihak mendakwa KKM lewat mengambil tindakan membendung kes buli dalam kalangan pengamal perubatan tetapi kementerian sebenarnya terus membuat siasatan dalaman selepas menerima aduan, sama seperti dilakukan pada 2018.

“Ini termasuk kes yang tidak diketahui Yang Berhormat, yang mana ada kes kematian di Hospital Seberang Jaya. Ia dikatakan akibat dibuli dan saya sedang menunggu dapatan siasatan dalaman yang dilakukan,” katanya di sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung dakwaan KKM lewat mengambil tindakan untuk membendung gejala buli dalam kalangan petugas kesihatan sehingga mengakibatkan ia kerap berulang.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly turut mengulas soalan tambahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur) berhubung tindakan kementerian berhubung kematian pakar patologi kimia di Hospital Lahad Datu, Dr Tay Tien Yaa yang didakwa dibuli.

Menurutnya, kementerian telah mewujudkan satu jawatankuasa bebas untuk menyiasat punca kematian itu.

Katanya, setelah menerima laporan kematian pegawai perubatan itu, KKM telah melakukan penyiasatan jawatankuasa dalaman bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah dan hospital tersebut.

“Jawatankuasa ini diwujudkan untuk menjalankan siasatan secara bebas dan terperinci serta inklusif bagi memastikan segalanya (maklumat diperoleh). Kedua, ia diwujudkan untuk mengenal pasti punca kematian berlaku dan mengesahkan sama ada benar wujud dakwaan buli.

“Seterusnya, menyediakan laporan lengkap berhubung hasil siasatan dan penelitian petugas khas dalam masa tiga bulan bermula 10 Oktober yang lalu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly memaklumkan bahawa kementerian bersedia untuk berkongsi laporan akhir tersebut atas dasar kebertanggungjawaban dan prinsip ketelusan.

Jelas beliau, perkara itu dilakukan agar semua pihak mengambil iktibar sama ada pelaku, pembuat polisi, eksekutif atau pembuat dasar.

“Kita perlu tahu akan sebenar-benarnya perkara itu secara terperinci supaya iktibar boleh diambil dan dijadikan sebagai rujukan jika mahu mengubah apa-apa polisi memandangkan ada bukti dan maklumat tepat,” kata Dr Dzulkefly.