LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bakal dipecat berdasarkan laporan meluas selepas kekalahan memalukan 1-4 kepada Watford.
Solskjaer mengakui beliau sangat malu selepas pasukannya tumpas buat kali kelima dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Times melaporkan bahawa keputusan mesyuarat tergempar lembaga pengarah selepas kekalahan kepada Watford adalah untuk menamatkan tempoh kendalian pengurus kelahiran Norway itu selepas tiga tahun di Old Trafford.
Solskjaer menandatangani kontrak baru selama tiga tahun Julai lalu dan dilaporkan akan menerima pampasan bernilai £7.5 juta (RM42.1 juta).
Memetik kepada laporan Manchester Evening News, hierarki kelab masih lagi memberi peluang buat Solskjaer semasa rehat aksi antarabangsa baru-baru ini walaupun kalah yang memalukan di tempat sendiri kepada Liverpool dan Manchester City.
Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah buruk di Vicarage Road selepas Hornets yang sedang bergelut terlepas dua peluang menyempurnakan sepakan penalti sebanyak dua kali pada separuh masa pertama masih mampu mencatat kemenangan selesa.
Solskjaer sebelum ini berjaya menempuh pelbagai kecaman ketika aksi buruk sejak mengambil alih pasukan pada 2018.
Tetapi kemerosotan terbaru United datang selepas pelaburan besar pramusim ke atas Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane yang dijangka menjadikan pasukan itu sebagai juara liga buat kali pertama sejak 2013, demikian laporan dipetik The Guardian.

Keputusan kewangan yang dikeluarkan minggu ini untuk suku pertama musim menunjukkan bil gaji United meningkat 23 peratus (23%).