
SEMPORNA, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(Maritim Malaysia) Zon Maritim Semporna berjaya merampas enam buah bot bersama kayu bergergaji dan pokok kayu bakau tanpa permit di kawasan Hutan Simpan Selatan Pulau Timbun Mata dan Timur Laut Tanjung Tabu-Tabu petang Khamis.
Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, dua buah bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam penugasan Op Pluto Timur telah mengesan beberapa buah bot yang mencurigakan di persisir pulau berkenaan.
“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan lanjut, tekong bot bersama beberapa awak-awak telah nekad bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan terdekat.
“Hasil pemeriksaan ke atas semua bot mendapati lebih kurang 40 batang kayu bergergaji dan 60 batang pokok kayu bakau yang siap di potong, telah ditinggalkan di dalam bot terbabit.
“Hasil keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM30,000 dan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah Daerah Semporna untuk tindakan siasatan di bawah Enakmen Perhutanan Sabah 1968 iaitu melakukan kesalahan membawa hasil hutan tanpa permit yang sah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Beliau menambah, Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah.





