PETALING JAYA, SELANGOR – Tiga setiausaha akhbar menteri persekutuan mendakwa gaji mereka belum dibayar sejak penubuhan Kerajaan Perpaduan.
Menurut sumber FMT, mereka masih menunggu surat pelantikan dan menyara hidup dengan wang simpanan serta elaun perjalanan dengan ramai tidak dimaklumkan mengenai kelewatan pembayaran.
Seorang daripadanya berkata dia teringin ke bidang korporat yang menawarkan gaji lebih tinggi tetapi tidak mahu “meninggalkan menteri separuh jalan”.
Seorang lagi yang telah berkhidmat selama enam bulan berkata, ada pembantu yang tidak dibayar “sesen pun tahun ini”.
Beliau berkata akan hanya mendapat elaun apabila melakukan perjalanan ke luar.
“Saya hidup dengan wang simpanan yang saya rasa hanya mampu bertahan sehingga akhir tahun.
“Saya sangat seronok bekerja di kementerian, tetapi saya tidak fikir boleh bertahan sehingga Disember jika tiada gaji.”
Dimaklumkan kelewatan pembayaran gaji itu disebabkan perdana menteri belum menandatangani surat pelantikan mereka.
Pegawai kementerian menunjukkan kertas kerja untuk membuktikan mereka berusaha mendapatkan pembayaran gaji dan hanya menunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani surat itu.






