SIPITANG, SABAH – Kecuaian semasa pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) punca sebuah sekolah menengah asrama penuh di Sindumin di sini putus bekalan air.
Menurut Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sindumin, Encik Sani Miasin, sebuah paip air telah pecah semasa kerja-kerja menaik taraf itu.
“Saya mendapat maklumat dari penduduk kampung yang terlibat bahawa masalah ini sudah beberapa hari berlaku dan masih lagi belum ada tanda-tanda ada jalan penyelesaiannya…
“Kita bukannya menolak pembangunan dan sebagainya, akan tetapi kebajikan rakyat sekitar harus juga diambil perhatian serius walaupun apa-apa masalah itu tanpa kita duga,” katanya dalam sebuah catatan pada halaman Facebook beliau semalam.
Dalam pada itu, beliau menggesa jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pengurusan pelaksanaan projek LPB untuk mencari langkah menangani masalah yang tercetus.
“Jangan biarkan rakyat menderita walaupun nampak masalah hanya seketika…
“Rakyat marhaen mengimpikan perkhidmatan yang diberikan ditahap yang terbaik apabila berlaku musibah (bencana) ataupun masalah yang lain akibat kelalaian manusia.
“Sekali lagi saya memohon budibicara pihak berkenaan untuk mencari solusi penyelesaian jangka masa pendek dan panjang supaya perkara ini tidak berulang lagi,” katanya sambil meminta perhatian dan tindakan yang sewajarnya daripada pihak kerajaan Gabungan Rakyat Sabah.