KOTA KINABALU: Pencapaian Sabah FC mara ke Perlawanan Akhir Piala FA disifatkan sebagai bukti jelas keupayaan pasukan itu untuk bersaing dengan kelab elit bola sepak negara, meskipun terpaksa akur dengan keputusan perlawanan akhir yang tidak memihak kepada mereka.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perjalanan Sabah FC ke pentas final merupakan satu pencapaian besar yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Sabah, sekali gus mencerminkan kemajuan positif pasukan berkenaan dalam arena bola sepak nasional.
Menurut beliau, tahap disiplin, semangat juang dan kesungguhan yang dipamerkan oleh barisan pemain serta pasukan kejurulatihan sepanjang kejohanan membuktikan Sabah FC berada pada landasan yang tepat sebagai sebuah pasukan yang berdaya saing.
“Walaupun keputusan akhir tidak memihak kepada Sabah FC, persembahan yang ditampilkan sepanjang kempen Piala FA menunjukkan bahawa pasukan ini mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan terbaik negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook sebentar tadi.
Hajiji turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh barisan pemain dan pasukan kejurulatihan atas komitmen, pengorbanan serta dedikasi yang ditunjukkan sehingga berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan mengharumkan nama Sabah.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada para penyokong Sabah FC yang terus memberikan sokongan padu tanpa mengenal penat lelah, sama ada hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil mahupun mengikuti perlawanan melalui siaran langsung di Sabah.
“Para penyokong adalah kekuatan sebenar pasukan ini. Teruskan berdiri bersama Sabah FC dalam perjuangan membina pasukan yang lebih mantap dan berdaya saing,” katanya.
Menurut Hajiji, usaha memperkukuh Sabah FC akan terus diperkasakan demi memastikan pasukan itu mampu mencipta kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.






