Cerai, Bapa Serah Tiga Anak ke Rumah Anak Yatim Demi Masa Depan...

Cerai, Bapa Serah Tiga Anak ke Rumah Anak Yatim Demi Masa Depan Lebih Baik

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Seorang bapa membuat keputusan paling sukar dalam hidupnya apabila menyerahkan tiga anaknya ke rumah anak yatim selepas tidak lagi mampu menampung perbelanjaan keluarga dengan gaji RM2,600 sebulan.

Huang, seorang pemandu lori di ibu negara, berkata keputusannya itu dibuat dengan hati yang berat selepas bergelut bertahun-tahun untuk memberikan kehidupan yang baik kepada anak-anaknya yang berusia lima, tujuh dan sembilan tahun.

Pada 13 Oktober lalu, kakitangan Rumah Anak Yatim Anshun Jaz di Perak datang ke rumah Huang untuk membawa ketiga-tiga anaknya ke tempat perlindungan baharu mereka.

Ketika anak-anaknya mengemas barang, suasana menjadi hiba apabila Huang cuba menenangkan mereka sambil menahan tangis.

“Saya pesan kepada mereka supaya belajar rajin-rajin dan jadi orang berguna. Anak sulung saya menangis dan peluk kaki saya, tak mahu lepaskan,” katanya sebak.

Huang bekerja di sebuah syarikat pembinaan dan mengakui kehidupannya amat sederhana, hanya mampu minum kopi untuk sarapan, makan roti tengah hari dan nasi untuk makan malam.

Walaupun berjimat, pendapatannya masih tidak mencukupi untuk menanggung kos penjagaan anak-anak.

Sebelum ini, dia menempatkan anak-anaknya di sebuah rumah kebajikan di Kuala Lumpur yang mengenakan bayaran RM400 sebulan, kemudian dikurangkan kepada RM300, namun dia tetap tidak mampu menanggungnya.

Rumah Anshun Jaz menjadi pilihan kerana tidak mengenakan sebarang bayaran.

Huang berkahwin dengan wanita warga Vietnam pada 2016 dan bercerai pada Mei 2024.

Mahkamah memberikan hak penjagaan penuh kepadanya selepas pertikaian panjang dengan bekas isterinya.

Kini, pihak Anshun Jaz Home berusaha mendaftarkan anak-anak Huang ke sekolah rendah dan tadika tempatan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat, selain menyediakan kaunseling bagi membantu mereka menyesuaikan diri.

Huang berkata, dia akan kembali bekerja di Kuala Lumpur tetapi berjanji akan melawat anak-anaknya setiap kali berpeluang.

“Saya cuma mahu mereka hidup lebih baik dan mendapat pendidikan yang sempurna,” katanya.