Sidang Dewan Rakyat Kecoh Kerana Proses Undi Belah Bahagian

Sidang Dewan Rakyat Kecoh Kerana Proses Undi Belah Bahagian

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Wakil-wakil pembangkang menimbulkan kekecohan dalam sidang Dewan Rakyat kelmarin, Isnin, semata-mata kerana mereka tidak berpuas hati dengan proses undi belah bahagian yang dijalankan mengikut peraturan.

Memetik laporan Utusan Online, kekecohan itu ditimbulkan sejurus selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin menggulung perbahasan Bajet 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya.

Mereka berbuat demikian selepas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mengumumkan keputusan undi belah bahagian yang menunjukkan sebanyak 52 Ahli Parlimen bersetuju, 51 orang tidak bersetuju manakala dua orang lagi berkecuali.

Ronald berkata, tiada sebarang perlanggaran peraturan berlaku ketika proses undian tersebut dijalankan.

“Semua peraturan diikuti sepenuhnya, peraturan mesyuarat tidak kata yang lambat datang tidak boleh dikira. Selagi keputusan masih belum diterima, proses undi masih berjalan,” katanya.

Walau bagaimanapun, sebahagian besar wakil pembangkang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan tersebut dan mereka seterusnya keluar dari dewan.