JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 30 tahun yang positif dadah jenis ketamin ditahan polis selepas dipercayai berpaut pada kereta dipandu isterinya sebelum sekumpulan rakan bertindak memecahkan cermin dan merampas barangan wanita berkenaan dalam kejadian di Bandar Seri Alam, di sini.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, suspek ditahan di Jalan Persisiran Seri Alam kira-kira jam 2 pagi tadi bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, kejadian yang tular di media sosial itu berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada 28 Februari lalu dan dipercayai berpunca daripada pertelingkahan antara suspek dan isterinya di sebuah pasar raya di kawasan berkenaan.
“Suspek dipercayai memanjat ke atas bonet dan berpaut pada bahagian hadapan kereta yang dipandu wanita itu sebelum terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, wanita terbabit memandu secara perlahan sejauh kira-kira dua kilometer sebelum kenderaan itu ditahan sekumpulan individu dipercayai rakan suspek.
“Individu terbabit kemudian bertindak memecahkan cermin kereta serta memeras ugut dan merampas barangan milik mangsa,” katanya.
Mohd Sohaimi berkata, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.






