Serangan AS-Israel Ke Atas Iran Gugat Pasaran Minyak Dunia, Risiko Harga Barang...

Serangan AS-Israel Ke Atas Iran Gugat Pasaran Minyak Dunia, Risiko Harga Barang Naik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pasaran tenaga global berdepan kejutan besar susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran serta serangan balas peluru berpandu Tehran di rantau Teluk yang menjejaskan eksport minyak dari kawasan pengeluar utama dunia.

Konflik itu menimbulkan ketidaktentuan terhadap aliran bekalan yang merangkumi kira-kira 20 peratus bekalan minyak global.

Harga penanda aras Brent sebelum ini meningkat ke sekitar RM272 setong, paras tertinggi sejak Ogos 2025, dan dijangka melonjak lagi apabila dagangan dibuka semula.

Setakat ini tiada kerosakan disahkan ke atas infrastruktur minyak dan gas, namun letupan dilaporkan di Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Bahrain.

Qatar memaklumkan ia memintas peluru berpandu yang disasarkan ke negara itu.

Tiada gangguan dilaporkan di Selat Hormuz, laluan sempit antara Iran dan Oman yang mengendalikan hampir 20 juta tong minyak sehari, tetapi beberapa syarikat minyak dan pedagang dilapor menggantung penghantaran buat sementara waktu berikutan risiko keselamatan.

Kadar sewaan kapal tangki juga melonjak mendadak susulan ketegangan yang berterusan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan masih mempunyai ruang dalam dasar ekonomi domestik untuk memastikan suasana politik kekal aman dan stabil bagi meningkatkan keyakinan pelabur.

“Apabila suasana politik aman, pelaburan meningkat, peluang pekerjaan bertambah dan inflasi dapat dikawal,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan kerajaan boleh mengawal harga barangan tempatan, namun kos import bergantung kepada laluan perdagangan antarabangsa.

“Jika berlaku sekatan di Laut Merah, jarak penghantaran dari Eropah menjadi lebih jauh dan kos pengangkutan meningkat. Ini bermakna harga barangan turut naik.

“Sebab itu kita berdoa agar konflik ini segera berakhir,” katanya.

Anwar turut menggesa pegawai kementerian mengikuti perkembangan makroekonomi semasa supaya setiap keputusan diambil dengan mengambil kira kesannya terhadap defisit negara dan cukai.