PAITAN: KDCA Paitan menerima penghantaran logistik berskala besar berkapasiti 15 tan berupa bekalan makanan dan keperluan asas bagi membantu mangsa banjir di kawasan Sugut dan Paitan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Sugut merangkap Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI), Datuk James Ratib berkata, bekalan berkenaan telah selamat tiba di pusat agihan KDCA Paitan dan kini sedang diselaras untuk diagihkan secara berperingkat ke kampung terjejas serta Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi.
Menurut beliau, penghantaran logistik itu memperkukuh peranan KDCA Paitan sebagai hab utama pengagihan bantuan di kawasan berkenaan.
“Penghantaran logistik berskala besar ini memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi serta dapat disalurkan secara tersusun dan efisien kepada rakyat yang terkesan akibat banjir,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
James turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan, pasukan keselamatan, sukarelawan serta penyumbang yang terus memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan operasi bantuan tersebut.
Beliau berkata Pejabat ADUN N.48 Sugut akan terus memantau perkembangan semasa di lapangan bagi memastikan segala bentuk bantuan yang diperlukan dapat disalurkan dengan segera demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Sugut dan Paitan.






