KENINGAU: Aktiviti lumba lari haram yang berlangsung di atas jalan raya awam akhirnya bertukar menjadi operasi tangkapan selepas IPD Keningau melancarkan Ops Bersepadu di Bandar Baru Bataras, malam Sabtu lalu.
Operasi dari jam 11.30 malam hingga 3.00 pagi itu melibatkan 36 pegawai dan anggota pelbagai bahagian termasuk Siasatan Jenayah, Narkotik dan Trafik.
Hasil pemeriksaan, seorang lelaki ditahan di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas disyaki memiliki Methamphetamine serta minuman air ketum.
Lebih mengejutkan, 10 lelaki turut ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
Bahagian Trafik pula mengeluarkan 25 saman atas pelbagai kesalahan. Secara keseluruhan, 130 individu dan 105 kenderaan diperiksa sepanjang operasi.
Ketua Polis Daerah Keningau, SUPT Yampil Anak Garai menegaskan tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan awam tidak dikompromi dan aktiviti tidak sihat dalam kalangan remaja dapat dibendung.






