KOTA KINABALU: Penganjuran Oil & Gas Services and Equipment Conference & Exhibition Sabah 2026 (OGSE Sabah 2026) dijangka menjadi pemangkin utama kepada agenda “Greater Participation” syarikat tempatan dalam sektor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE), selaras usaha memperkukuh kandungan tempatan serta meningkatkan daya saing syarikat Sabah dalam industri berintensif teknologi.
Program yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Jun 2026 di Sabah International Convention Centre (SICC) itu dianjurkan menerusi kerjasama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), Sabah Oil & Gas Services Council (SOGSC) dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah (PKPBS) dengan sokongan pelbagai agensi Kerajaan Negeri termasuk SMJ Energy serta rakan industri strategik lain.
Acara berprofil tinggi itu dijangka menarik lebih 5,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa serta menghimpunkan sekitar 200 pempamer yang mewakili pelbagai segmen rantaian nilai industri minyak dan gas.
Menurut MINDET, penganjuran OGSE Sabah 2026 bukan sekadar pameran industri, malah menjadi platform strategik untuk menyelaras dasar antara Kerajaan Negeri, pengendali petroleum dan pemain industri sejajar pelaksanaan dasar kandungan tempatan (local content).
“Penganjuran OGSE Sabah 2026 mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem industri minyak dan gas yang lebih inklusif, kompetitif dan mampan.
Agenda ‘Sabah First’ akan terus diperkasakan bagi memastikan penyertaan lebih besar syarikat serta tenaga kerja tempatan dalam keseluruhan rantaian nilai industri,” menurut kenyataan MINDET di sini, hari ini.
Tambah kementerian itu, program berkenaan turut berperanan mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan tenaga yang mampan, berdaya saing dan mesra pelabur, khususnya dalam pembangunan industri hiliran serta perkhidmatan sokongan minyak dan gas.
Selain mempamerkan keupayaan teknikal dan kapasiti syarikat OGSE tempatan kepada pengendali petroleum serta pelabur antarabangsa, OGSE Sabah 2026 juga akan menjadi wadah perbincangan industri dalam merangka Pelan Hala Tuju OGSE Sabah Lima Tahun (2026–2030).
Pelan tersebut bakal memfokuskan pembangunan kapasiti dan kapabiliti, pengukuhan kerjasama strategik serta peluasan pasaran syarikat OGSE Sabah.
Dalam masa sama, aspek pembangunan modal insan turut diberi penekanan melalui pameran kerjaya, sesi perkongsian industri dan program padanan bakat bagi mendedahkan generasi muda serta pelajar kepada potensi kerjaya dan peluang keusahawanan dalam industri minyak dan gas.
MINDET menegaskan, pendekatan menyeluruh ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan OGSE Sabah yang berdaya saing dan berkeupayaan teknikal tinggi, di samping memperluas pegangan kontrak oleh syarikat tempatan secara lebih tersusun dan berimpak.
“Inisiatif ini juga memfokuskan pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi kepada rakyat Sabah, agar limpahan ekonomi daripada industri ini dapat diterjemahkan kepada pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih mampan, progresif dan menyeluruh,” menurut kenyataan itu lagi.






