
TAMBUNAN, SABAH – University College Sabah Foundation (UCSF) terus komited mengadakan Program University Social Responsibility (USR) menerusi Kunjungan Kasih ke Rumah Anak Yatim (RAY) Tambunan pada Isnin.
Rombongan terbabit diketuai oleh Naib Canselor, Dr Rafiq Idris.
Menurutnya, program USR kali ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkenalkan UCSF, peluang pendidikan yang ditawarkannya dan bantuan kewangan yang disediakan bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di universiti itu.
“UCSF juga komited untuk membantu dari pelbagai perspektif, khususnya dari segi pendidikan atau program jalinan masyarakat khas untuk anak-anak di RAY.
“Perbincangan telah diadakan diantara UCSF dan RAY Tambunan mengenai program yang boleh dilaksanakan bersama”, katanya pada Program USR, Kunjungan Kasih di sini.
Beliau menegaskan bahawa UCSF sangat prihatin terhadap pendidikan anak-anak Sabah kerana masyarakat yang berilmu akan memberi impak yang positif kepada kemajuan negara.
Menurutnya, pendidikan bukan sahaja penting kepada individu terutama darisegi ilmu dan pengetahuan, malah akan memperkasakan kemahiran mereka.
“UCSF komited melahirkan masyarakat yang celik hijau, celik keusahawanan, celik digital dan celik kewangan,” tegasnya.