![IMG-20230920-WA0002 Ums](https://sabahnews.com.my/wp-content/uploads/2023/09/IMG-20230920-WA0002-640x426.jpg)
KOTA KINABALU, SABAH – Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah berjaya ditauliah oleh Energy Commission of Sabah (ECoS) sebagai pusat bagi menjalankan latihan dan peperiksaan untuk Program Kekompetenan Gas.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan UMS, pencapaian ini merupakan hasil persefahaman yang telah dimeterai melalui Memorandum Persefahaman di antara ECoS dan UMS sekaligus menjadikan UMS sebagai institusi latihan ditauliah yang pertama di Sabah bagi Program Kekompetenan Gas.
Menurut kenyataan terbabit, kewujudan Institusi Latihan Ditauliah ini diyakini akan memberikan manfaat kepada pelbagai pihak
“Ini seterusnya menjadi pemangkin dalam usaha membangunkan modal insan yang berkemahiran dan berpendapatan tinggi dalam industri bekalan gas yang sebelum ini hanya bergantung harap dengan pusat latihan di Semenanjung Malaysia.
“Ini juga selaras dengan inisiatif yang strategik untuk mendokong keberkesanan pelaksanaan Sabah Energy Roadmap and Masterplan 2040 (SE-RAMP 2040) yang baru sahaja dilancarkan oleh Ketua Menteri.
“Justeru, ia juga dapat menyumbang kepada pembangunan berterusan selaras dengan perkembangan teknologi baru dalam industri gas,” jelas dalam kenyataan tersebut.
Program Kekompetenan Gas tersebut menawarkan kursus yang khusus bagi Jurutera Gas, Penyelia Kejuruteraan Gas, Jurugegas dan juga Orang Bertanggungjawab bagi pepasangan gas di premis, dan dikendalikan oleh barisan tenaga pengajar yang bertauliah dan berpengalaman daripada UMS, ECoS dan juga pemain industri gas di Sabah.
Melalui program ini, sasaran bilangan Orang Kompeten Gas dijangkakan sebanyak 441 orang menjelang pada tahun 2030.
“Peningkatan daripada bilangan sedia ada iaitu seramai 24 orang sebelum penubuhan ECoS, akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat kejuruteraan di Sabah untuk menceburi bidang industri gas.
“Ini sekaligus memastikan harga bagi membangunkan infrastuktur yang melibatkan sistem perpaipan gas bagi premis restoran, dobi layan diri dan sebagainya adalah rendah dan berpatutan serta mengikut piawaian dan selamat untuk dikendalikan,” katanya.
Penyerahan watikah ini telah disempurnakan oleh Datuk Abdul Nasser Abdul Wahid, Ketua Pegawai Eksekutif bagi pihak ECoS dan Prof. Dr. Coswald Stephen Sipaut @ Mohd Nasri, Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyrakat) merangkap Pengarah, Pusat Kolaborasi dan Libatsama Industri bagi pihak UMS.
Orang awam yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Kekompetenan Gas anjuran UMS boleh mengajukan pertanyaan melalui emel ke alamat careline@ecos.gov.my ataupun di talian 088-205574.