KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) perlu memastikan kesihatan para pelajar serta guru tidak terjejas akibat cuaca panas yang berlaku ketika ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata JPNS perlu mengambil langkah proaktif dengan memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa seterusnya menyalurkan maklumat berkenaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pengetua dan guru besar.
“Kita akan memantau keadaan cuaca dan Kementerian Pendidikan khususnya JPNS akan memberikan maklumat dari masa ke semasa berkaitan cuaca sekarang.
“Sudah pasti, JPNS akan berkolaborasi dengan pihak atau agensi berkaitan berhubung dengan cuaca ini dan menyalurkannya kepada PPD, pengetua dan guru besar.
“Saya berharap agar anak-anak kita dan khususnya guru-guru sentiasa menjaga kesihatan, semoga keadaan cuaca sekarang ini akan pulih seperti biasa,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Semarak Ramadan dan Bicara Turath Sempena Simposium Turath Antarabangsa Sabah, Malaysia 2024 di Dewan Saadah, Wisma Muis pada Selasa.
Program Semarak Ramadan merupakan anjuran Jheains dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Cawangan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Dalam pada itu, Arifin turut menggesa masyarakat untuk menghormati bulan Ramadan dengan tidak makan atau minum di khalayak secara terbuka pada siang hari.
“Kita mengambil pendekatan ilmu kesedaran dan kempen kesedaran dalam menghormati bulan ramadan, di samping itu kita ada enakmen-enakmen yang berhubung dengan perkara berkenaan yang akan dilaksanakan oleh Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) untuk mencegah ianya berlaku.
“Di samping itu, kita juga mengambil pendekatan memberi pemahaman dan kesedaran serta ilmu kepada mereka dan alhamdulillah kes-kes seumpama itu jarang berlaku kerana masyarakat sedar tentang perlunya kita menghormati bulan Ramadan,” ujar beliau.
Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua Muis Datuk Ustaz Malai Ali Malai Ahmad, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Jumain Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Kemajuan islam Malaysia Cawangan Sabah (JAKIM), Datuk Norjeli Dais dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) Mohamad Sidik Awang Adi. — JABATAN PENERANGAN SABAH