Lampu Jalan Berisiko di Tenom Akan Diselenggara Berperingkat – Jamawi

Lampu Jalan Berisiko di Tenom Akan Diselenggara Berperingkat – Jamawi

0
SHARE

TENOM: Lampu-lampu jalan raya di daerah ini, khususnya di kawasan berisiko, akan diselenggara secara berperingkat bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha itu akan terus dipantau bagi memastikan kemudahan lampu jalan milik Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) berfungsi dengan baik.

“Hari ini wakil saya bersama pegawai berkaitan telah turun padang untuk memantau keadaan tiang dan lampu jalan raya milik SE bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

Kita akan memastikan lampu-lampu jalan raya di Tenom, terutamanya di bahagian yang berisiko, dapat diselenggara secara berperingkat agar keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terjamin,” katanya.

Beliau berkata demikian susulan pemantauan yang dijalankan oleh Pegawai Khasnya, Mohd. Nizam Ag. Kassim yang mewakili beliau bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.42 Melalap, pada Ahad.

Turut serta dalam pemantauan itu ialah Junaidi Juan yang mewakili Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), Denesly Justin, Daud selaku Ketua SE Tenom, Mohd. Das dan Herryzan serta Jurutera Jabat Kerja Raya (JKR) Tenom, Honeylet Ullap.

Menurut Jamawi, pemantauan berterusan penting bagi mengenal pasti lampu jalan yang rosak atau memerlukan penyelenggaraan segera, khususnya di lokasi yang mempunyai risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa sebelum ini pihak UPPM melalui Denesly Justin telah mengadakan kunjungan hormat ke beberapa jabatan berkaitan bagi membincangkan isu lampu jalan di sekitar Tenom.

Katanya, langkah itu bertujuan memastikan masalah yang dihadapi dapat diselaraskan dengan agensi berkaitan supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Diharapkan kita akan sentiasa bekerjasama dengan semua pihak demi kepentingan dan pembangunan daerah Tenom,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pihak yang terlibat dalam usaha memastikan kemudahan awam di daerah itu sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.