KOTA KINABALU, SABAH – Gerakan Anti-Shafie Apdal (GASA) mendesak agar Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal menarik balik serta-merta kelulusan membenarkan pekerja asing dari negara China untuk bekerja di Sabah.

GASA dalam satu kenyataan yang dikirim kepada portal berita sabahnews.com.my berkata, “membenarkan pekerja berkemahiran dari China datang bekerja di Sabah adalah jelas satu pengkhianatan kepada anak-anak Sabah yang masih menganggur di Sabah.”
Risiko membawa masuk pekerja daripada China ke Sabah sebelum vaksin COVID-19 ditemui juga turut dipertikaikan.
Shafie dalam satu kenyataan baru-baru ini berkata pekerja warga asing dari Republik China itu dibenarkan untuk bekerja di Sabah berkuatkuasa serta-merta pada 01 Julai 2020.

Pada masa yang sama, surat permohonan membenarkan pekerja dari negara China untuk datang bekerja di Sabah yang mula tular sejak pagi tadi telah ditandatangani oleh pemimpin DAP Sabah, Jimmy Wong turut dikecam oleh orang ramai kerana dilihat lebih mengutamakan pekerja dari China berbanding Sabah.

GASA dalam kenyataannya turut berkata, tindakan Jimmy Wong jelas menunjukkan semangat patriotik kepada Sabah seolah-olah tidak wujud dalam diri Jimmy.
“Di mana rasa sayang Jimmy terhadap rakyat Sabah?Adakah Jimmy telah mengiklankan jawatan kosong kepada rakyat Sabah sehingga sanggup membawa masuk pekerja dari China di mana dalam masa yang sama terlalu ramai lagi anak-anak Sabah masih menganggur di Sabah.”
“Kalau Jimmy termasuk Shafie Apdal tidak mempercayai keupayaan anak-anak Sabah dalam pelbagai sektor di Sabah untuk diambil bekerja dengan syarikat-syarikat besar yang ada di Sabah, adalah wajar secara moralnya bagi mereka berdua untuk meletak jawatan dengan kadar yang segera.”
“Sepatutnya kenyataan yang keluar dari mulut Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri ialah kerajaan akan membawa masuk tenaga pengajar dari China untuk melatih anak-anak Sabah agar mereka boleh menguasai kemahiran yang diperlukan oleh syarikat-syarikat pelbagai sektor di Sabah, dan bukannya membawa masuk pekerja dari China untuk bekerja.”
GASA berkata lagi “kami berpandangan anak-anak Sabah di luar sana ramai yang berkemahiran dalam pelbagai sektor, malangnya jawatan kosong tidak diiklankan sudah tentu maklumat mengenai jumlah pekerja yang diperlukan mengikut kemahiran tidak akan ditemui.”
Justeru, GASA mengajak seluruh rakyat Sabah untuk mempastikan agar Shafie Apdal termasuk parti sekutu Warisan iaitu DAP, PKR dan UPKO dapat ditumbangkan pada Pilihan Raya yang akan datang kerana jelas parti pemerintah ini telah GAGAL sepenuhnya mentadbir negeri Sabah dengan baik.