KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah telah menjalankan pemeriksan ke atas 475 geria Bazar Ramadan bermula 12 Mac hingga 20 Mac di seluruh negeri .
Pengarah Pejabat KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, seorang peniaga bazar telah didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang telah tamapt tempoh sah penentusahan bagi tujuan perdagangan.
“Manakala seorang lagi peniaga gagal meletakkan tanda harga, label atau tag yang menunjukkan harga tunai ke atas kuih muih yang dipamerkan untuk jualan.
“Kedua-dua peniaga tersebut telah ditawarkan kompaun (Kompaun On The Spot) dan telah dijelaskan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Katanya lagi, bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 20 Mac 2024, KPDN Sabah juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas 12,888 premis perniagaan dan berjaya menghasilkan sebanyak 242 kes atas pelbagai kesalahan di bawah akta-akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN.
“Jumlah nilai rampasan adalah sebanyak RM1.9 juta dan bagi tempoh tersebut juga sejumlah RM26,200 nilai kompaun berjaya dikutip.
“Justeru itu, KPDN mengingatkan kepada semua peniaga agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan terutamanta sepanjang bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitiri dengan amalan perniagaan beretika serta tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan yang berlebihan,” tegasnya.
KPDN turut menasihati para pengguna supaya tidak menularkan sebarang salah laku peniaga di media sosial tetapi melaporkan terus kepada KPDN untuk dijalankan pemeriksaan sewajarnya.