
NEW YORK – Pengeluar kereta Amerika Syarikat (AS) melancarkan pikap elektrik pertamanya, dikenali sebagai ‘Cybertruck’ dengan proses pemasangannya dibuat di kilang berhampiran Austin, Texas.
Tesla dalam ciapannya di Twitter berkata, Cybertruck pertama dibina di Giga Texas, selain muat naik itu turut disertakan dengan gambar kenderaan futuristik itu yang dikelilingi pekerja syarikat berkenaan.
Pemilik Tesla dan Twitter, Elon Musk yang mengulang ciap muat naik berkenaan turut mengucapkan tahniah kepada kakitangan Tesla.
April lalu, syarikat berkenaan dilapor akan melancarkan Cybertruck pertamanya, sebelum akhir tahun ini.
Tesla Cybertruck đ¤@Tesla @elonmuskpic.twitter.com/WLiZQFkmcI
— Dima Zeniuk (@DimaZeniuk) July 15, 2023
Memetik laporan AFP, sesi pengenalan kenderaan itu agak luar biasa apabila Elon mengarahkan pekerjanya memukul satu tingkap kenderaan prototaip menggunakan keluli bagi mempamerkan kekukuhan strukturnya.
Bagaimanapun, tingkap berkenaan pecah ketika sesi ujian dilakukan, selain siri kedua turut memberikan hasil sama, sekali gus mengundang maklum balas negatif.
Namun, Tesla memaklumkan pihaknya menerima hampir 150,000 tempahan awal, selepas dua hari kejadian terbabit.
Elon pada Mei lalu berkata, Tesla menyasarkan pengeluaran 250,000 Cybertruck setahun dengan angka itu diunjur meningkat dua kali ganda ekoran faktor harga yang berpatutan.