TENOM, SABAH – Seorang lelaki berusia dalam lingkunangan 50- an maut setelah dilanggar oleh dua buah kenderaan di Jalan Tenom – Keningau, sini, malam semalam.
Laporan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sabah menyatakan bahawa mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira 8.45 malam itu.
Ketua BBP Tenom PPB Mohd Zainal Sinsin ketika dihubungi SabahNews berkata mangsa dipercayai cuba melintas jalan.
“Kenderaan pertama ialah sebuah Proton Iswara manakala yang kedua, disaksikan oleh anggota saya sendiri yang kebetulan melalui jalan berkenaan, adalah sebuah Proton Saga.
“Beliau cuba menahan kereta kedua terbabit tetapi mungkin pemandu tidak menyedarinya dan meneruskan perjalanan,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
PGO berkata mayat mangsa seterusnya diangkat dan diserahkan kepada Polis untuk tindakan lanjut.
“Pasukan bomba telah membuat pembersihan di sekitar lokasi,” kata seorang jurucakap bagi agensi berkenaan.
Operasi melibatkan sepasukan empat anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tenom di lokasi berjarak kira-kira 2 kilometer (KM) dari Balai tersebut kemudian ditamatkan pada jam 9.22 malam.





